Syair

Mari Belajar Syair

Syair adalah puisi atau karangan dalam bentuk terikat yang mementingkan irama sajak. Istilah syair dikatakan berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud puisi secara umum. Dalam bahasa Melayu istilah syair sudah menjadi satu istilah yang khusus. Mengikut Harun Mat Piah, 1989 syair Melayu dikatakan tidak beracunkan syair daripada tradisi Arab atau mana-mana puisi Arab-Parsi tetapi syair Melayu sudah mempunyai bentuk dan acuan Melayu asli masyarakat Melayu sendiri. Namun begitu, terdapat juga pendapat yang menyatakan syair Melayu menerima pengaruh puisi Arab. Orang Melayu mula mengenali syair sejak zaman bertapaknya Islam di alam Melayu melalui pengkajian kitab yang terdapat bentuk syair seperti kitab Al-Luma; Fusus Al-Hikam, Al-Insan Al-Kamil yang dibawa oleh pengembang Islam ke Melaka.

Syair terdiri daripada empat baris dalam satu rangkap. Setiap baris syair mempunyai hubungan. Rima bagi setiap rangkap syair adalah sama iaitu jika hujung baris syair diakhiri dengan huruf a, maka baris seterusnya juga mesti diakhiri hurf yang sama. Contoh syair kanak-kanak :

Syair Pesan Ibu

Dengarlah anak ibu berpesan,
Lengkapkan diri dengan pelajaran,
Hanya itulah jadi bekalan,
Untuk hidup di masa depan.

Ilmu itu pelindung diri,
Seperti kebun berpagar duri,
Seperti sinar intan baiduri,
Itulah tanda orang jauhari.


Hidupmu kini di masa remaja,
Bagaikan permata amat berharga,
Jangan jatuh ke lembah hina,
Nanti menyesal tidak berguna.

Kalau hidup terasa susah,
Sering berhadapan dengan masalah,
Hadapi dengan hati yang tabah,
Jangan cepat resah gelisah.

Syaitan menggoda bertambah gundah,
Jangan mengambil jalan mudah,
Jangan sekali mencuba dadah,
Kalau terjerat sesal tak sudah.

Jika masa sudah terbuang,
Perginya tidak akan berulang,
Di hari tua sesal mendatang,
Mengingatkan waktu yang telah hilang.

Dunia bagai lautan dalam,
Gelombang besar karangnya tajam,
Di situ banyak kapal tenggelam,
Ramailah insan yang telah karam.

Ingatlah wahai anakku sayang,
Tanah indah pusaka moyang,
Jangan terlepas ke tangan orang,
Sedangkan kita miskin terbuang.

2 comments:

Unknown said...

kalau ade video orang deklamasi syair la best

qalbuku said...

mohon untuk kongsi untuk pengajaran

Post a Comment